Isnin, 5 Oktober 2009

Anak-Anak Pendidikan Khas Terlalu Istimewa

Pernahkan kita berfikir kenapa Allah melahirkan kanak-kanak istimewa ini ke muka bumi ini? Sedangkan kita tahu bahawa terlalu peritnya hidup mereka untuk menempuh liku-liku kehidupan yang penuh dengan cabaran ini. Pernahkah kita menilai diri kita apabila melihat kehidupan mereka? Adakah kita merasa apa yang mereka rasa? Mari kita renungkan bersama.
Allah melahirkan mereka ini untuk kita sebagai manusia yang dilahirkan cukup sifat dan penuh dengan kesempurnaan ini bermuhasabah diri kita ini. Allah mahukan kita memanjat kesyukuran terhadap apa yang telah diberikan kepada kita. Tetapi adakah kita bersyukur dengan apa yang telah diberikan oleh Allah?
Selama tiga bulan bersama dengan kanak-kanak ini di SK Changkat Lada 3, aku telah banyak menghitung dan menilai diri ini. Saya belajar dari mereka, aku muhasabah diri yang cukup penuh dengan kehinaan ini. Kadangkala sebak rasa di hati apabila merenung jauh nasib diri ini. Anak-anak ini pastinya telah dijanjikan syurga oleh Allah walaupun diri mereka serba kekurangan. Tetapi adakah aku dapat mencium bau syurga seperti mereka. Aku dilahirkan cukup segala sifat, normal, mempunyai akal dan fikiran yang jauh lebih baik dari mereka. Tetapi aku masih lagi kabur akan nasib aku di akhirat kelak. tidak seperti anak-anak ini yang pastinya memperolehi nikmat ini di akhirat nanti. untungnya mereka. Hari ke hari aku cuba memperbaiki diri ini. Apabila terkenangkan mereka makin kuat naluriku untuk berubah. Terima kasih anak-anak yang terlalu istimewa.
Namun aku masih lagi terkilan apabila masih ada ibu bapa yang tidak bersyukur atas nikmat tuhan apabila dianugerahkan anak-anak yang istimewa ini. Tidakkah mereka sedar bahawa doa anak-anak ini tiada hijabnya? Doa mereka adalah dimakbulkan Allah. Pelbagai karenah ibu bapa yang dapat aku kesan sepanjang berada di sekolah. Ada sebahagian ibu bapa yang hanya mengharap duit saguhati OKU yang diberikan untuk anak-anak untuk dibelanjakan sesuka hati. Ada ibu bapa yang masih lagi melakukan perkara-perkara yang ditegah oleh ibu bapa walaupun mendapat anak-anak yang kurang sifat ini. Sedih mengenagkan nasib mereka ini. Ya Allah bukakanlah pintu hati mereka.
Mulai hari ini aku akan bertekad untuk membantu mereka dengan ikhlas dan penuh kasih sayang. Amanah yang terlalu besar nilainya. Ya Allah aku memohon padamu tetapkanlah iman ku untuk aku berbakti kepada anak-anak istimewa ini semata-mata keranaMu Ya Allah. Janganlah Kau jadikan aku manusia yang lupa dari tanggungjawab dan amanah yang diberikan. Rahmatilah segala tugas yang ku lakukan. Limpahkanlah kasih sayang Mu dan permudahkan segala urusan ku Ya Allah. Berikanlah kebahagian kepada anak-anak istimewa ini. Hanya padaMu lah aku memohon petunjuk dan keredhaan.amin yarabbal alamin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan